Friday, July 6, 2012

Konflik Alang: 8 Jam sarat mesej tersirat, aksi hebat

SEJAK pertama kali melihat trailer 8 Jam, penulis teruja untuk menanti tayangan fi lem lakonan Shaheizy Sam dan Yana Samsudin ini.

Bagi penulis, ia merupakan fi lem terbaik lakonan Sam, selepas Songlap.

Jika anda selama ini sering dihidangkan dengan sisi komedi Sam, maka anda wajib untuk menonton filem ini.

Kematangan lakonan Sam dapat dilihat menerusi lontaran emosi, dialog dan juga gerak tubuhnya. Tidak sedikit pun menyelitkan aksi komedi, namun keberkesanan lakonan Sam tetap dirasai.

Malah, Sam sendiri mengakui mengerah seluruh tenaga untuk menjayakan watak Alang yang bermain dengan emosi dan tenaga yang banyak.

Penonton mungkin pelik melihat Alang yang begitu baran, namun jika anda benar-benar merasai emosi Alang, anda tentu dapat memahami betapa peritnya untuk merasai kebahagiaan yang tidak dapat dirasai Alang.

Alang digambarkan sebagai anak yang membesar di lorong gelap, terpaksa hidup sendirian setelah kematian ibunya.

Kemudian dia dipertemukan dengan Julia (Yana) yang banyak mengubah hidupnya.

Namun, segalanya berubah setelah Alang dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana membunuh seseorang.

Dalam tempoh lapan jam sebelum dijatuhi hukuman gantung, Alang mula mengimbas segala kisah hidupnya dari kecil sehingga dia menjadi pembunuh.

Sama seperti Sam, penulis juga agak kecewa apabila Lembaga Penapisan Filem (LPF) memotong babak Sam di tali gantung kerana sebenarnya ia adalah kemuncak dan babak penting filem ini.

Namun, tidak adil menyalahkan LPF kerana babak itu sensitif diperlihatkan kepada umum, walaupun mungkin meninggalkan kesan kepada penonton.

Sama seperti Sam, lakonan Yana juga baik. Namun ada masanya, penulis merasakan Yana mungkin boleh berikan lakonan yang lebih baik daripada apa yang dipersembahkan dalam 8 Jam. Ahmad Idham selaku pengarah cukup bijak menarik perhatian penonton dengan siri ilmu yang ringkas tapi padat.

Malah, penyampaian cerita dengan teknik imbas semula membantu penonton menyelami kisah hidup Alang dan keperitan yang dilaluinya.

Babak aksi di dalam filem ini juga cukup mengagumkan, namun tidak hairanlah kerana Idham turut menggunakan tenaga pakar dari Thailand bagi mendapatkan aksi-aksi yang cukup ganas sehingga filem ini diklasifikasikan untuk tontonan 18 tahun ke atas.

Teknik sinematografi yang dilakukan juga cukup baik. 'Kegelapan' kehidupan Alang sebagai anak lorong, digambarkan dengan kesuraman cahaya dan permainan syot yang baik. Bagi penulis, 8 Jam adalah antara filem aksi terbaik daripada Idham setakat ini.

8 Jam mengisahkan, Alang, membesar di sebuah lorong yang penuh dengan keganasan dan jenayah. Zaman kanak-kanak Alang dirampas, apabila ibunya mati dibunuh seorang Along.

Alang yang tidak mempunyai sedara mara yang lain telah dihantar ke rumah anak-anak yatim. Dia hadapi kesukaran untuk bergaul dengan rakan sebayanya yang lain, namun muncul Julia yang tidak putus-putus cuba berkawan dengannya.

Keikhlasan Julia menyebabkan mereka menjadi kawan baik sehinggalah bercambah menjadi cinta. Namun, hubungan mereka terputus di tengah jalan kerana Julia diambil mak ciknya.

Alang akhirnya kembali ke kehidupannya semasa kecil. Alang yang cuba untuk hidup dengan aman sering diganggu beberapa konco yang meminta wang perlindungan. Namun, ditakdirkan Alang bertemu semula dengan Julia yang sedang dalam keadaan kesusahan.

Bagaimanapun kebahagiaan mereka hanya sementara apabila muncul mak cik Julia menuntut Julia kembali dan konco-konco geng tersebut sering menghantui Alang. Kini, Alang berada di dalam penjara kerana membunuh seseorang.

Siapa mangsa Alang? Mengapa Alang bertindak sedemikian? Dapatkah Alang dan Julia bersama semula? Semuanya akan terjawab dalam filem 8 JAM.


SUMBER : SINAR HARIAN

1 org yang baik hati komen: