Oh My English!
(OME!) kini kembali untuk musim kedua. Oh My English! Musim Ke-2
menjanjikan keseronokan dan pembelajaran berganda kepada para penonton dengan
menampilkan para pelakon yang baru, jalan cerita yang menarik dan pastinya
lebih ilmu pengetahuan dan kosa kata dalam menguasai Bahasa Inggeris. Para
peminat rancangan ini boleh menyaksikan tayangan musim kedua pada setiap hari Ahad jam 7.30 malam, bermula
daripada 31 Mac di Astro TVIQ (saluran
610) dan untuk definisi tinggi (HD) di Astro Mustika HD (saluran 134).
Berikutan sambutan yang sangat menggalakkan terhadap Oh
My English! pada tahun lepas, musim kedua ini memperkuat komitmen Astro untuk
menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat di kalangan generasi muda Malaysia
dengan menggabungkan pendidikan dan hiburan. Rancangan ini bertujuan untuk
memberikan inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk memperbaiki pertuturan dalam
Bahasa Inggeris melalui pendekatan 360 darjah pelbagai medium yang merangkumi
siri TV Oh My English!, butang merah interaktif di alat kawalan
jauh Astro, video klip pendek, laman sesawang, permainan,
bengkel pembelajaran di sekolah, majalah ilmiah, kapsul radio, laman media
sosial dan banyak lagi.
Yasmin Megat, Naib Presiden Bahagian Remaja dan
Kanak-Kanak Astro berkata “Astro sangat
komited dalam menawarkan pengisian pendidikan berkualiti tinggi dan
pembelajaran menyeronokkan yang meliputi kesemua platform kami, dari Astro TV
ke perkhidmatan satelit percuma NJoi sehinggalah Astro-on-the-Go untuk memperkaya
ilmu rakyat Malaysia dari segenap peringkat umur dan lapisan masyarakat. Kami
sangat berbesar hati untuk bekerjasama sekali lagi dengan Kementerian
Pendidikan bagi membawa pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dalam Oh My
English! merentasi sekolah-sekolah di Malaysia.”
Oh My English! dilancarkan buat kali pertama pada Mei
2012 dan telah menerima sambutan dan sokongan yang luar biasa bagi sebuah
program pendidikan. Rancangan ini telah memenangi hati peminat dan ditonton
oleh berjuta rakyat Malaysia, malah tajuk program ini juga telah menjadi
ungkapan harian yang popular di kalangan golongan belia Malaysia.
Oh My English! Musim Pertama telah mencatatkan jumlah
penonton televisyen seramai lebih daripada 3.6 juta, lebih 8.4 juta menontonnya
di YouTube dan terdapat 430,000 peminat di Facebook. Selain itu, rancangan ini
merupakan rancangan yang paling banyak ditonton di Astro-On-The-Go sambil turut
menarik ramai pelawat ke laman sesawang pendidikan Oh My English!. Ungkapan Oh
My English juga menjadi salah satu topik ‘trending’
teratas di Twitter pada tahun 2012. Malah, lagu tema Oh My English! yang
dinyanyikan oleh Liyana Jasmay dan Altimet turut menjadi lagu yang begitu
popular dan mengungguli carta radio tanah air. Kejayaan rancangan bersiri ini
telah mendorong kepada penghasilan majalah Oh My English! dan sebanyak 70,000
salinan edisi pertama telah dicetak dan diedarkan.
“Kami sangat
terharu dengan puluhan ribu pesanan positif yang kami terima untuk Oh My
English!. Mereka yang menghantarkan pesanan-pesanan berupa sokongan ini terdiri
daripada para pelajar sekolah, ibu bapa sehinggalah para guru dan mereka bukan
sahaja dari Malaysia, malah dari Brunei, Singapura, Indonesia, Timur Tengah dan
juga Korea. Sokongan berterusan daripada para peminat ini memberikan inspirasi
dan menguatkan lagi azam kami untuk menyampaikan kandungan yang lebih baik
untuk musim kedua dengan pembelajaran dan keseronokan yang berganda”, tambah Yasmin Megat, Naib Presiden Bahagian Remaja dan Kanak-Kanak Astro.
Oh My English! Musim Ke-2 yang menampilkan 20 episod
serba baru ini akan meneruskan formulanya menggabungkan lawak jenaka dan
pendidikan untuk membantu para penonton menguasai pertuturan dalam Bahasa
Inggeris. Para peminat siri ini pasti teruja dengan penampilan kembali
karakter-karakter kegemaran mereka daripada kelas 3 Merah seperti Jibam
(Akhmal Nazrin), See Yew Soon (Roax
Tan), Shafiq (Aedy Ashraf), Azlin (Izara Aishah), Mazlee (Md Zhafir Muzani bin Mohamad), Anusha (Kaameshaa d/o Ravindran), Farouk (Amer
Sharrif bin Rashid), dan tidak dilupakan guru-guru yang mendidik mereka di
dalam rancangan ini seperti Mr. Henry
Middleton (Zain Saidin), Pn Hajar
(Adibah Noor), Encik Salleh (Harun
Salim Bachik) serta juga Mr. Os yang memegang watak sebagai tukang kebun
sekolah, Pak Sham yang akan kembali
menggamatkan suasana.
Oh My English! Musim Ke-2 kali ini pastinya akan
menjadi lebih hebat dengan penampilan karakter-karakter baru yang akan didukung
oleh pelakon-pelakon terkenal tanah air. Pemenang ABPBH, Aaron Aziz menyertai
sesi pengajian Oh My English! kali ini sebagai Cikgu Malik iaitu seorang guru Pendidikan Jasmani yang juga
merupakan jurulatih pasukan bola sepak sekolah tersebut. Untuk menambahkan lagi
keseronokan sesi pembelajaran, Tiz Zaqyah juga akan turut membantu sebagai Cikgu Ayu, seorang guru Bahasa Melayu
yang baru di sekolah itu. Dua pelakon muda yang berbakat besar akan turut
terlibat sebagai pelajar baru. Syafie Naswip, pemenang Anugerah Pelakon
Pembantu Lelaki Terbaik di FFM25, akan memegang watak sebagai seorang pelajar
nakal bernama Azlan manakala pelakon
yang semakin meningkat naik, Iezahdiyana sebagai seorang pelajar baru yang
ceria bernama Hani. Penambahan karakter-karakter baru ini seperti
Cikgu Malik, Cikgu Ayu, Hani dan Azlan bakal menjadikan Oh My English!
musim ini bertambah segar dan pastinya menjanjikan jalan cerita yang menarik
dan penuh kejutan apabila karakter-karakter sedia ada bertemu dengan
karakter-karakter yang baru.
Para peminat siri ini juga pasti akan lebih teruja
dengan penampilan khas ramai lagi selebriti popular. Lisa Surihani dan Rozita
Che Wan akan membuat penampilan sekali lagi dalam rancangan ini atas permintaan
ramai. Dalam musim kedua ini, Datuk Aznil Haji Nawawi, Nur Fazura, Rykal, Joe
Chang, Gabriella Robinson, Yus Jambu (Raja Lawak) dan penyampai radio hitz.fm
iaitu Jin dan Ryan akan turut memeriahkan lagi sesi pembelajaran Oh My English!
Berbekalkan barisan pelakon yang mantap dan jalan
cerita yang padat dengan jenaka, Oh My English! Musim Ke-2 pastinya
menghiburkan para penonton. Namun, di sebalik hiburan yang diberikan, unsur
ilmiah yang diketengahkan masih menjadi fokus utama. Astro sekali lagi
bergandingan bersama pakar Bahasa Inggeris global iaitu British Council dalam menghasilkan
pengisian berunsur ilmiah dan juga elemen animasi dalam
kapsul pembelajaran yang lebih baik untuk diterapkan di dalam Oh My English!.
Para penonton boleh menambah baik kemahiran dalam Bahasa Inggeris melalui kapsul
ini yang merangkumi kosa kata, tatabahasa, pertuturan, peribahasa dan pelbagai
lagi. Kepada para peminat yang ingin mempelajari ilmu Bahasa Inggeris dengan
lebih mendalam, sila layari laman sesawang Oh My English!
di www.ohmyenglish.com.my yang padat dengan bahan-bahan ilmiah, permainan dan aktiviti yang
menarik. Selain itu, bagi sesiapa yang ingin menjadi sebahagian daripada
komuniti pembelajaran Bahasa Inggeris terbesar di negara ini boleh menyertai www.facebook.com/ohmyenglish
atau www.twitter.com/oh_my_english. Di sini, mereka boleh menjadi sebahagian daripada komuniti Oh
My English! yang mesra sambil berkongsi pengalaman mempelajari Bahasa Inggeris. Pada pertengahan tahun ini, para
peminat Oh My English! juga dapat menikmati lebih banyak aktiviti dalam ruang
digital.
Seiring dengan pelancaran Oh My English! Musim Kedua,
pihak Astro telah pun menyediakan beberapa aktiviti eksklusif. Program ganjaran
kesetiaan Astro, Astro Circle ingin menjemput para pelanggan Astro ke tayangan
perdana Oh My English! Musim Ke-2 bersama dengan barisan pelakonnya. Untuk
mengetahui cara memenangi jemputan eksklusif ini, layari laman sesawang www.ohmyenglish.com.my. Tarikh tutup penyertaan adalah 24 Mac 2013.
Bukan itu sahaja, para peminat juga boleh menonton “Di Sebalik Tabir” istimewa Oh My English!
Musim Ke-2 pada hari Ahad, 24 Mac
jam 7.30 malam di Astro TVIQ (saluran 610) dan Mustika HD (saluran 134).
Sebagai persediaan untuk kedatangan musim kedua, TVIQ akan menayangkan kembali Oh My English! Musim Pertama secara berterusan
pada 30 & 31 Mac, pukul 10 pagi – 10.30 malam. Oleh itu, para peminat
berpeluang untuk menonton kembali mana-mana episod yang tidak sempat ditonton
daripada musim pertama. Ini diikuti dengan tayangan perdana Oh My English! Musim Ke-2 pada hari Ahad,
31 Mac jam 7.30 malam di Astro TVIQ (saluran 610) dan Mustika HD (saluran 134).
Musim kedua akan terus bersiaran pada setiap hari Ahad jam 7.30 malam pastinya di saluran Astro TVIQ dan Astro
Mustika HD.
-
TAMAT -
0 org yang baik hati komen:
Post a Comment