Monday, April 1, 2013

Oh My English Musim Ke-2 kembali menemui penonton




Oh My English! (OME!) kini kembali untuk musim kedua. Oh My English! Musim Ke-2 menjanjikan keseronokan dan pembelajaran berganda kepada para penonton dengan menampilkan para pelakon yang baru, jalan cerita yang menarik dan pastinya lebih ilmu pengetahuan dan kosa kata dalam menguasai Bahasa Inggeris. Para peminat rancangan ini boleh menyaksikan tayangan musim kedua pada setiap hari Ahad jam 7.30 malam, bermula daripada 31 Mac di  Astro TVIQ (saluran 610) dan untuk definisi tinggi (HD) di Astro Mustika HD (saluran 134). 

Berikutan sambutan yang sangat menggalakkan terhadap Oh My English! pada tahun lepas, musim kedua ini memperkuat komitmen Astro untuk menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat di kalangan generasi muda Malaysia dengan menggabungkan pendidikan dan hiburan. Rancangan ini bertujuan untuk memberikan inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk memperbaiki pertuturan dalam Bahasa Inggeris melalui pendekatan 360 darjah pelbagai medium yang merangkumi siri TV Oh My English!, butang merah interaktif di alat kawalan

 
Encik Aaron Aziz

jauh Astro, video klip pendek, laman sesawang, permainan, bengkel pembelajaran di sekolah, majalah ilmiah, kapsul radio, laman media sosial dan banyak lagi.

Yasmin Megat, Naib Presiden Bahagian Remaja dan Kanak-Kanak Astro berkata “Astro sangat komited dalam menawarkan pengisian pendidikan berkualiti tinggi dan pembelajaran menyeronokkan yang meliputi kesemua platform kami, dari Astro TV ke perkhidmatan satelit percuma NJoi sehinggalah Astro-on-the-Go untuk memperkaya ilmu rakyat Malaysia dari segenap peringkat umur dan lapisan masyarakat. Kami sangat berbesar hati untuk bekerjasama sekali lagi dengan Kementerian Pendidikan bagi membawa pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dalam Oh My English! merentasi sekolah-sekolah di Malaysia.”

Oh My English! dilancarkan buat kali pertama pada Mei 2012 dan telah menerima sambutan dan sokongan yang luar biasa bagi sebuah program pendidikan. Rancangan ini telah memenangi hati peminat dan ditonton oleh berjuta rakyat Malaysia, malah tajuk program ini juga telah menjadi ungkapan harian yang popular di kalangan golongan belia Malaysia.

Oh My English! Musim Pertama telah mencatatkan jumlah penonton televisyen seramai lebih daripada 3.6 juta, lebih 8.4 juta menontonnya di YouTube dan terdapat 430,000 peminat di Facebook. Selain itu, rancangan ini merupakan rancangan yang paling banyak ditonton di Astro-On-The-Go sambil turut menarik ramai pelawat ke laman sesawang pendidikan Oh My English!. Ungkapan Oh My English juga menjadi salah satu topik ‘trending’ teratas di Twitter pada tahun 2012. Malah, lagu tema Oh My English! yang dinyanyikan oleh Liyana Jasmay dan Altimet turut menjadi lagu yang begitu popular dan mengungguli carta radio tanah air. Kejayaan rancangan bersiri ini telah mendorong kepada penghasilan majalah Oh My English! dan sebanyak 70,000
salinan edisi pertama telah dicetak dan diedarkan.

“Kami sangat terharu dengan puluhan ribu pesanan positif yang kami terima untuk Oh My English!. Mereka yang menghantarkan pesanan-pesanan berupa sokongan ini terdiri daripada para pelajar sekolah, ibu bapa sehinggalah para guru dan mereka bukan sahaja dari Malaysia, malah dari Brunei, Singapura, Indonesia, Timur Tengah dan juga Korea. Sokongan berterusan daripada para peminat ini memberikan inspirasi dan menguatkan lagi azam kami untuk menyampaikan kandungan yang lebih baik untuk musim kedua dengan pembelajaran dan keseronokan yang berganda”, tambah Yasmin Megat, Naib Presiden Bahagian Remaja dan Kanak-Kanak Astro.  

 
antara cast yang hadir \pada preview OME

Oh My English! Musim Ke-2 yang menampilkan 20 episod serba baru ini akan meneruskan formulanya menggabungkan lawak jenaka dan pendidikan untuk membantu para penonton menguasai pertuturan dalam Bahasa Inggeris. Para peminat siri ini pasti teruja dengan penampilan kembali karakter-karakter kegemaran mereka daripada kelas 3 Merah  seperti Jibam (Akhmal Nazrin), See Yew Soon (Roax Tan), Shafiq (Aedy Ashraf), Azlin (Izara Aishah), Mazlee (Md Zhafir Muzani bin Mohamad), Anusha (Kaameshaa d/o Ravindran),  Farouk (Amer Sharrif bin Rashid), dan tidak dilupakan guru-guru yang mendidik mereka di dalam rancangan ini seperti Mr. Henry Middleton (Zain Saidin), Pn Hajar (Adibah Noor), Encik Salleh (Harun Salim Bachik) serta juga Mr. Os yang memegang watak sebagai tukang kebun sekolah, Pak Sham yang akan kembali menggamatkan suasana.

Oh My English! Musim Ke-2 kali ini pastinya akan menjadi lebih hebat dengan penampilan karakter-karakter baru yang akan didukung oleh pelakon-pelakon terkenal tanah air. Pemenang ABPBH, Aaron Aziz menyertai sesi pengajian Oh My English! kali ini sebagai Cikgu Malik iaitu seorang guru Pendidikan Jasmani yang juga merupakan jurulatih pasukan bola sepak sekolah tersebut. Untuk menambahkan lagi keseronokan sesi pembelajaran, Tiz Zaqyah juga akan turut membantu sebagai Cikgu Ayu, seorang guru Bahasa Melayu yang baru di sekolah itu. Dua pelakon muda yang berbakat besar akan turut terlibat sebagai pelajar baru. Syafie Naswip, pemenang Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di FFM25, akan memegang watak sebagai seorang pelajar nakal bernama Azlan manakala pelakon yang semakin meningkat naik, Iezahdiyana sebagai seorang pelajar baru yang ceria bernama Hani.  Penambahan karakter-karakter baru ini seperti Cikgu Malik, Cikgu Ayu, Hani dan Azlan bakal menjadikan Oh My English! musim ini bertambah segar dan pastinya menjanjikan jalan cerita yang menarik dan penuh kejutan apabila karakter-karakter sedia ada bertemu dengan karakter-karakter yang baru.

Para peminat siri ini juga pasti akan lebih teruja dengan penampilan khas ramai lagi selebriti popular. Lisa Surihani dan Rozita Che Wan akan membuat penampilan sekali lagi dalam rancangan ini atas permintaan ramai. Dalam musim kedua ini, Datuk Aznil Haji Nawawi, Nur Fazura, Rykal, Joe Chang, Gabriella Robinson, Yus Jambu (Raja Lawak) dan penyampai radio hitz.fm iaitu Jin dan Ryan akan turut memeriahkan lagi sesi pembelajaran Oh My English!

Berbekalkan barisan pelakon yang mantap dan jalan cerita yang padat dengan jenaka, Oh My English! Musim Ke-2 pastinya menghiburkan para penonton. Namun, di sebalik hiburan yang diberikan, unsur ilmiah yang diketengahkan masih menjadi fokus utama. Astro sekali lagi bergandingan bersama pakar Bahasa Inggeris global iaitu British Council dalam menghasilkan


pengisian berunsur ilmiah dan juga elemen animasi dalam kapsul pembelajaran yang lebih baik untuk diterapkan di dalam Oh My English!. Para penonton boleh menambah baik kemahiran dalam Bahasa Inggeris melalui kapsul ini yang merangkumi kosa kata, tatabahasa, pertuturan, peribahasa dan pelbagai lagi. Kepada para peminat yang ingin mempelajari ilmu Bahasa Inggeris dengan lebih mendalam, sila layari laman sesawang Oh My English! di www.ohmyenglish.com.my yang padat dengan bahan-bahan ilmiah, permainan dan aktiviti yang menarik. Selain itu, bagi sesiapa yang ingin menjadi sebahagian daripada komuniti pembelajaran Bahasa Inggeris terbesar di negara ini boleh menyertai www.facebook.com/ohmyenglish atau www.twitter.com/oh_my_english. Di sini, mereka boleh menjadi sebahagian daripada komuniti Oh My English! yang mesra sambil berkongsi pengalaman mempelajari Bahasa Inggeris.  Pada pertengahan tahun ini, para peminat Oh My English! juga dapat menikmati lebih banyak aktiviti dalam ruang digital.

Seiring dengan pelancaran Oh My English! Musim Kedua, pihak Astro telah pun menyediakan beberapa aktiviti eksklusif. Program ganjaran kesetiaan Astro, Astro Circle ingin menjemput para pelanggan Astro ke tayangan perdana Oh My English! Musim Ke-2 bersama dengan barisan pelakonnya. Untuk mengetahui cara memenangi jemputan eksklusif ini, layari laman sesawang www.ohmyenglish.com.my. Tarikh tutup penyertaan adalah 24 Mac 2013.

Bukan itu sahaja, para peminat juga boleh menonton “Di Sebalik Tabir” istimewa Oh My English! Musim Ke-2 pada hari Ahad, 24 Mac jam 7.30 malam di Astro TVIQ (saluran 610) dan Mustika HD (saluran 134). Sebagai persediaan untuk kedatangan musim kedua, TVIQ akan menayangkan kembali Oh My English! Musim Pertama secara berterusan pada 30 & 31 Mac, pukul 10 pagi – 10.30 malam. Oleh itu, para peminat berpeluang untuk menonton kembali mana-mana episod yang tidak sempat ditonton daripada musim pertama. Ini diikuti dengan tayangan perdana Oh My English! Musim Ke-2 pada hari Ahad, 31 Mac jam 7.30 malam di Astro TVIQ (saluran 610) dan Mustika HD (saluran 134). Musim kedua akan terus bersiaran pada setiap hari Ahad jam 7.30 malam pastinya di saluran Astro TVIQ dan Astro Mustika HD.

Untuk melanggan Astro, hubungi kami di talian 1300 82 3838 atau layari www.astro.com.my
-          TAMAT  -

0 org yang baik hati komen:

Post a Comment